Mempertahankan seni kraftangan bidai bertam daripada hilang ditelan zaman
Mata Lau Chee Wah berkelip-kelip disaat dia mengenangkan zaman kegemilangan perusahaan bidai bertam yang diwarisi daripada datuk dan ayahnya pada suatu ketika dahulu.
Menurut Lau yang berusia 77 tahun, bidai bertam buatannya pernah menjadi sebahagian daripada keindahan dan kebanggaan landskap bandar Ipoh, Malaysia pada suatu ketika dahulu. Bidai-bidai bertam yang tergantung indah di laluan masuk kedia dua tingkat dan kediaman itu mampu melindungi penghuninya daripada terik cahaya matahari dan mereka yang suka menyibuk.
Namun, semua itu telah pun berubah. Peredaran zaman telah menyuntik persepsi baru kepada seni kraftangan Lau. Pada abad ke-21 ini, hasil karya Lau mungkin dilihat sebagai sesuatu yang indah tetapi pelik dan tidak lagi relevan memandangkan kewujudan bangunan-bangunan hotel, pusat beli-belah dan pejabat moden di sekitar bekas hab perindustrian bijih timah tersebut yang kini menjadi ibu negeri Perak.
“Lama-kelamaan, orang pun dah tak beli bidai bertam lagi. Jadi, satu demi satu pembuat bidai terpaksa gulung tikar. Setakat ini, sayalah pembuat bidai bertam terakhir di bandar bersejarah Ipoh ini. Di luar kawasan bandar, masih ada beberapa pengusaha bidai,” ujar Lau dalam dialek Kantonis sambil mengukir senyuman. Suaranya suram ketika menceritakan situasi sebenar perniagaan bidai bertam sekarang.
Ketika kunjungan kami baru-baru ini, kedai Lau merupakan satu-satunya yang masih beroperasi pada hari cuti umum. Kedainya terletak di antara sederet rumah kedai lama yang menjadi pemandangan biasa untuk pengguna-pengguna jalan besar berdekatan dengan Sungai Kinta, Ipoh.
Berbekalkan nama bapanya, Lau Hooi Kee sebagai nama kedai, kedai Lau terletak di antara kedai pembuat papan tanda lama, pengusaha botol kaca serta beberapa buah kedai terbiar yang dipenuhi dengan poster-poster 'Untuk Disewa' pada tingkap-tingkap yang berhabuk.
Lau yang bertubuh kurus, seiring dengan peningkatan usia sedang giat menyiapkan tempahan baru untuk minggu tersebut. Tempahan tersebut diterima daripada seorang pelanggan lama yang juga merupakan pemilik kedai ubat Cina. Bilah-bilah buluh yang dibelinya disulam dengan teliti dalam satu proses rumit yang diwarisi daripada kedua-dua orang tuanya sebelum Lau mencecah usia remaja.
“Pastikan bilah-bilah buluh ini disulam dan diikat dengan kemas supaya tidak ada satu pun ruang yang terdedah diantaranya. Ini bagi memastikan bidai bertam lebih tahan lama, biarpun terdedah kepada cahaya matahari mahupun hujan. Itulah reputasi yang telah saya bina untuk hasil kerja saya selama ini,” kongsi Lau. Lau yang tampil dengan sehelai baju kemeja-T lama dan seluar pendek begitu bersungguh-sungguh mengikat jaluran buluh nipis dengan tali tebal yang diikat pada pemberat besi kecil bagi membantu mengetatkan lagi bidai-bidai tersebut.
Selesai proses tersebut, bidai-bidai akan dibentangkan di atas lantai seakan-akan kepingan tikar gergasi yang diperbuat daripada kayu beraneka bentuk yang rata. Seterusnya, permukaan bidai-bidai ini perlu dilicinkan dengan kertas pasir. Lau bersyukur kerana penglihatannya masih jelas, memandangkan proses ini memerlukan pemeriksaan teliti terhadap sebarang kecacatan atau lubang-lubang halus pada permukaan buluh.
Majoriti pelanggan Lau terdiri daripada pengusaha-pengusaha kedai kopi lama dan peniaga pelbagai bidang – daripada nasi ayam hinggalah ke kerusi rotan. Sebahagiannya juga meminta agar bidai-bidai tempahan mereka dihias dengan nama kedai, gambar atau slogan untuk menarik perhatian orang ramai apabila ia digunakan nanti.
“Secara fizikalnya, ini bukan kerja yang memenatkan. Apa yang penting adalah kesabaran dan pengalaman. Malah, orang tua pun boleh buat. Cuma, sekarang saya dah tak boleh hantar bidai-bidai ini sendiri kepada pelanggan,” ujar Lau yang ketawa sambil menundingkan jarinya ke arah sebuah beca yang digunakan untuk menghantar hasil kerjanya sebelum ini. Beca usang yang telah berkarat itu masih diletakkan berhampiran ruang tengah kedainya. Ia merupakan sebahagian daripada sejumlah perkakasan lama yang terdiri daripada sebuah sempoa dan set televisyen tahun 1970-an.
“Saya lebih suka barang lama. Telefon bimbit pun saya tak ada,” jelas Lau. Enggan mendedahkan jumlah hasil pendapatannya, Lau bagaimanapun menegaskan perniagaanya agak sukar untuk diramal. Ada ketikanya, tiada tempahan selama berminggu-minggu. Namun, pada musim-musim khas seperti kehadiran Tahun Baru Cina, Lau mungkin memperolehi beberapa tempahan secara serentak terutamanya pada saat para pengusaha ingin memperbaiki penampilan kedai mereka.
Biarpun rezeki tempahan datang melimpah ruah, Lau tetap berpendapat ia tidak membawa sebarang keuntungan. Hakikatnya, upah membuat bidai bertam hanyalah RM6 untuk setiap satu kaki persegi, manakala caj penghasilan bidai kayu yang lebih berkualiti pula adalah lebih tinggi. Lau juga perlu membayar kos sewa kedai sebanyak RM600 sebulan. Bangunan pra-Perang Dunia Kedua tersebut telah dipilih khas oleh Datuk Lau sendiri untuk perniagaan turun-temurun itu.
Lau yakin kesinambungan perniagaan keluarganya akan diteruskan pada masa akan datang. Lokasi kedainya yang terletak di tengah-tengah kawasan dereten rumah kedai kini menjadi tarikan berikutan wujudnya kafe-kafe serta hotel-hotel butik baru sejak kebelakangan ini.
Malah, sesetengah pengusaha kedai ini turut menggunakan bidai bertam untuk menyerlahkan keanggunan sentuhan vintaj.
Selain, bidai bertam, Lau juga boleh menghasilkan ukiran kayu serta barang perhiasan buluh yang lebih kecil. Ini termasuk satu produk perhiasan yang sebahagian daripadanya dihiasi dengan tulisan kaligrafi China klasik berwarna emas. Malangnya, menurut Lau, hasil karya seperti itu sudah kurang popular berbanding bidai-bidai bertam.
“Saya benar-benar rasa saya bukan orang zaman ini. Apa yang lebih membimbangkan adalah selepas saya bersara atau tiada nanti, mungkin tiada orang lain yang akan menghasilkan bidai seperti ini di Ipoh lagi. Lebih-lebih lagi dengan ketelitian dan kehalusan seni seperti ini,” terang Lau yang tidak mempunyai waris.
Tambahnya lagi: “Saya sedar kebanyakan anak muda hari ini sudah tidak berminat untuk belajar seni kraftangan sebegini. Sebabnya, mereka dah ada macam-macam gajet moden dan komputer. Tapi, saya harap suatu hari nanti ada yang mengejutkan saya dengan meneruskan perniagaan seperti ini.”
Chop Lau Hooi Kee
15 Lorong Bijeh Timah,
Ipoh Malaysia
Tel +605 254 2972