Kampung Bharu, satu-satunya perkampungan Melayu asli di pusat bandar yang menawarkan 1,001 tarikan
Hati kecil anda pasti terdetik betapa dekat dan menariknya pengalaman yang dirasai saat mengikuti program Jalan-jalan@Kampung Bharu.
Sesi jelajah selama 2.5 jam yang akan merangkumi 10 lokasi penting di sekitar kawasan Kampung Bharu ini menjanjikan pelbagai pengalaman menarik. Para peserta disajikan dengan sejarah, budaya dan kulinari yang telah mempengaruhi pembentukan perkampungan asli di tengah-tengah bandaraya ini.
Lawatan dengan berjalan kaki ini juga membolehkan peserta merasai kelazatan kuih-muih dan teh tarik di sebuah warung tradisional. Perjalanan anda ada kalanya juga disulami pemandangan ayam melintas jalan. Kedai-kedai gunting rambut lama, kedai songkok dan kedai runcit yang menjual seni khat, ramuan herba dan chapal masih mudah ditemui di sini. Jauh bezanya dengan barangan yang boleh anda lihat di pusat beli-belah berdekatan, Suria KLCC.
Walaupun dikelilingi bangunan-bangunan pencakar langit termoden di Kuala Lumpur, Kampung Bharu tetap mengekalkan ciri-ciri kekampungan asli. Suasana kampung yang masih segar di tengah-tengah kesibukan bandaraya itu terhasil daripada keputusan penjajah British untuk mewartakan tapak seluas 157.4 hektar itu sebagai Tanah Penempatan Pertanian Melayu pada 1900. Setiap pasangan yang telah berkahwin pada ketika itu akan menerima tanah seluas 0.2 hingga 0.8 hektar untuk diusahakan.
Bertitik-tolak dari situ, Kampung Bharu terus berkembang dan kini mempunyai populasi penduduk seramai 35,000 orang selain mencatatkan pelbagai rekod tersendiri. Gerai Nasi Lemak Antarabangsa misalnya, amat terkenal di kawasan itu. Malah, nasi santan berlauk pedas dari gerai tersebut sering diangkat sebagai lambang hidangan kebangsaan negara.
Dari sisi sejarah pula, Kelab Sultan Sulaiman yang menjadi lokasi permulaan untuk program jalan-jalan ini memiliki nilai sentimental buat rakyat Malaysia. Sebagai kelab sosial tertua di KL, kelab ini turut menyaksikan kelahiran parti pemerintah negara, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Terdapat bahan bukti terkini yang menunjukkan perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara juga dibangkitkan di lokasi ini.
Di kebanyakan perkampungan Melayu, masjid lazimnya merupakan destinasi tarikan utama. Mampu menampung sehingga 7,000 orang, kemegahan Masjid Jamek yang tiada tandingan ini menjadikannya masjid utama di Kampung Bharu. Gabungan nilai estetika seni bina Islam dan Mogul menyerikan lagi keindahan masjid yang disemarakkan dengan pintu gerbang berdinding mozek ini.
Kemesraan penduduk kampung juga amat ketara sepanjang sambutan bulan Ramadan. Terbentuk daripada maksud ‘bersatu’, Masjid Jamek turut menganjurkan majlis berbuka puasa, bacaan al-Quran dan program amal pengagihan barang serta bubur lambuk (campuran bubur, daging dan herba) yang disertai oleh masyarakat berbilang bangsa dan agama.
Menerusi sesi jelajah ini, pengunjung berpeluang untuk mendekati warisan rumah tradisional Melayu. Kebanyakannya diperbuat daripada kayu dan berbumbungkan atap zink serta dihiasi ukiran halus dan tingkap kaca berwarna.
Setiap rumah warisan masyarakat Melayu ini bukan setakat menarik dari segi seni binanya. Malah, setiap satunya adalah nadi kepada kesinambungan adat resam dan sejarah perkembangan Kampung Bharu. Contohnya, rumah-rumah yang dibina di atas kaki bajang ini sebenarnya untuk melindungi penghuninya daripada binatang liar dan bukan untuk mengelakkan air banjir. Menurut pemandu pelancong kami, rumah bertiang kaki ini juga boleh menggalakkan pengalihan udara yang baik.
Lebih menariknya, setiap tiang kaki ini akan ditanggalkan bagi memudahkan proses pemindahan dengan bantuan penduduk kampung ketika penghuninya ingin berpindah pada zaman dahulu!
Sesi jalan-jalan ini berakhir di Jalan Raja Alang, satu laluan sempit yang menempatkan sebuah bazar sibuk pada sebelah malam. Di sini, tidak rugi jika anda saling menyapa dengan peniaga-peniaga tempatan. Jika kena gaya, anda juga berpeluang merasai sepotong dua buah-buahan bermusim seperti manggis, nangka, jambu air dan keenakan tempoyak. Lambakan produk dan perkakas tempatan di sini jelas menunjukkan signifikan bazar ini kepada penduduk setempat yang menjadi pelanggan tetapnya selama ini.
Beralih semula ke gerai Nasi Lemak Antarabangsa untuk makan malam, saya sedar Kampung Bharu belum lagi bebas daripada proses gentrifikasi sepenuhnya. Papan-papan tanda jalan dilengkapi butiran seperti nama asal dan baharu jalannya. Tiang-tiang konkrit untuk bersandar dan laluan-laluan jalan kaki yang lebih selamat juga disediakan.
Aktiviti ini paling sesuai untuk mereka yang meminati pengalaman asli berbeza dan ingin menyelami kehidupan di kampung tanpa perlu berganjak dari pusat bandar.
Program Jalan-jalan@Kampung Bharu ini ditawarkan secara percuma pada setiap hari Selasa, Khamis dan Ahad bermula 4.30 petang hingga 7 malam. Layari visitkl.gov.my untuk maklumat lanjut.