Kuasa internet telah membawa kraf tradisional Melayu bunga telur ke peringkat global.
Merisik, meminang, akad nikad dan bersanding. Empat upacara penting ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa teliti dan kayanya adat perkahwinan orang Melayu. Hakikatnya, setiap kali bertandang ke majlis persandingan sahabat handai, saya cukup teruja melihat betapa meriah pasangan mempelai diraikan dalam kenduri besar-besaran. Pada penghujung majlis merupakan saat-saat yang paling dinantikan kerana pada waktu inilah tuan rumah akan menghulurkan satu cenderamata berupa bunga telur kepada setiap tetamu yang hadir. Tampil dengan sebatang lidi pencucuk sate panjang, bunga telur ini diperbuat daripada telur rebus keras yang dibalut dengan kain jarang beserta sekuntum bunga di hujung lidi. Saya benar-benar tidak sabar untuk membuka dan menikmati cenderamata tersebut!
Sebagai orang dewasa, saya juga mula belajar menghargai sejarah di sebalik tradisi pemberian bunga telur. Berasal daripada budaya masyarakat Hindu yang telah mempengaruhi sebahagian besar budaya lain di Asia Tenggara, pemberian bunga telur kepada para tetamu sebagai cenderamata telah sekian lama dipraktikkan semasa majlis persandingan orang Melayu.
Menariknya, penyediaan bunga telur lazimnya akan dilakukan secara bergotong-royong beberapa hari sebelum berlangsungnya majlis persandingan. Pada zaman dahulu, kaum wanita dalam keluarga akan berkumpul untuk menghasilkan cenderamata simbolik itu. Kini, kebanyakan pengantin lelaki atau perempuan terutamanya di kawasan urban, akan mengambil jalan pintas dengan membeli bunga telur keluaran kilang atau ditempah daripada penggiat seni kraf seperti Farah Hafizah.
Usahawan dan pemilik portal www.bungatelur.com yang beroperasi dari rumah ini bagaimanapun bukan calang-calang pembuat bunga telur. Farah yang merupakan graduan kejuruteraan IT telah mempelajari selok-belok pembuatan bunga telur daripada wanita-wanita lain di kampungnya di Kedah sejak berusia sembilan tahun lagi. Namun, dia hanya menceburi bidang ini secara serius selepas berkahwin apabila menerima tempahan pertama untuk majlis persandingan bekas rakan sekerjanya. Suaminya juga yang menceburi bidang IT telah menasihatkan Farah untuk menggunakan nama domain yang menarik.
Pada tahun 2006, perdagangan elektronik atau e-niaga masih belum digunakan secara meluas. Tindakan Farah untuk memperkenalkan perniagaannya dalam talian menerusi laman web www.bungatelur.com ternyata menyuntik kelainan dalam industri seni kraftangan. Sekejap saja, portal tersebut berjaya menarik perhatian pelanggan antarabangsa pertama dari Australia yang ingin membuat tempahan khas bagi majlis persandingannya dengan seorang lelaki Islam. “Dia menempah 200 bunga ros plastik dan korsaj untuk dihadiahkan kepada penanggah. Tempahan dibuat menerusi e-mel dan enam bulan kemudian, dia datang mengambil separuh daripada tempahan tersebut. Selebihnya, saya hantar melalui perkhidmatan kourier,” jelas Farah.
Di sebuah bilik kraf khas, pelanggan boleh menemui beberapa prototaip yang dihasilkan mengikut permintaan pelanggan lama dan baharu. “Saya perlu mengetahui warna tema pilihan, bajet serta gaya yang diingini oleh pelanggan untuk majlis persandingan masing-masing. Kemudian, berdasarkan kepada semua spesifikasi ini, saya akan menyiapkan satu prototaip sebelum dirakam dan di e-mel kepada pelanggan untuk mendapat kelulusan,” terangnya lagi. Hanya setelah prototaip yang dihasilkan memperoleh kelulusan, Farah akan memulakan proses penghasilan bunga telur satu-persatu sehingga mencecah 50 hingga 200 biji mengikut ketetapan pelanggan.
Seperti kebanyakan kelengkapan perkahwinan yang lain, penggunaan bunga telur sebagai cenderamata lazimnya sedikit sebanyak memberi gambaran tentang status kewangan pihak pengantin. Pelbagai bahan boleh digunakan untuk menghasilkan cenderamata simbolik tersebut sama ada menggunakan bahan berkos rendah seperti kain stoking, dedaun emas dan riben mahupun fabrik mewah seperti songket serta baldu. Namun, kebolehan Farah untuk menggubal bahan-bahan biasa seperti cebisan kain dan dedaun plastik kering menjadi sejambak bunga dalam masa beberapa minit sesungguhnya menjadi bukti kredibiliti, kemahiran serta seni rekaannya. “Sudah tentu ini belum lagi dikira masa yang saya habiskan untuk memikirkan konsep serta memborong bahan-bahan keperluan di kedai-kedai kraftangan!” ujarnya sambil ketawa.
Sesungguhnya setiap tempahan yang diterima merupakan ujian bagi Farah untuk menunjukkan bakat kreativitinya. Malah, bagi pelanggan pula, mereka semestinya mengharapkan nilai yang dibayar setaraf dengan hasil tempahan. “Mudah saja kalau pelanggan nak gubahan yang ringkas, misalnya dengan kain organza atau riben. Tapi, kalau pelanggan mengimpikan hasil karya unik dan menjadi sebutan para tetamu, maka, adalah perlu bagi seseorang jurugaya untuk memiliki cita rasa dan pengetahuan yang tinggi terhadap warna dan kesan yang digunakan,” katanya. Farah tidak gentar untuk mencabar daya kreativitinya. Keberanian ini cukup menonjol dalam setiap hasil rekaannya yang menggabungkan unsur-unsur Timur dan Barat. Sebagai contoh, salah satu hasil karyanya (bunga telur) tampil dengan gabungan kerongsang-kerongsang yang dibeli dari ebay sewaktu dia masih dalam pantang selepas bersalin.
Pemberian telur rebus keras sebagai cenderamata perkahwinan kepada para jemputan telah sekian lama dipraktikkan sehingga sekitar tahun 1980-an dan 1990-an. Cenderamata berupa telur sebenar ini dapat mengiringi doa agar pasangan pengantin baharu tersebut diberkati dengan cahaya mata nanti. Malangnya, berikutan pelbagai faktor serta kemunculan aneka cenderamata moden seperti coklat mewah dan potpourri telah meminggirkan adat tradisi pemberian bunga telur secara perlahan-lahan. Salah satu faktornya adalah peningkatan jumlah tetamu di majlis persandingan. Bayangkan betapa rumitnya proses yang melibatkan ratusan biji telur untuk direbus dan diwarnakan satu-persatu!
Kini, biarpun dengan peredaran zaman, Farah amat bersyukur kerana niat dan makna sebenar pemberian bunga telur sebagai cenderamata masih dikekalkan. Di kawasan kampung, penghasilan bunga telur biasanya didominasi oleh sanak saudara pihak pengantin dan jiran tetangga. Pada waktu inilah, golongan berusia tersebut bukan sahaja sempat meluangkan masa berbual kosong, malah turut berkongsi tip bagi melayari bahtera rumahtangga dengan anak-anak dara.
“Persiapan untuk alam perkahwinan sesungguhnya mengeratkan tali silaturahim. Ia membuatkan semua orang berasa gembira dengan sumbangan masing-masing untuk persiapan tersebut sebagaimana meriahnya sebuah perkahwinan sebenar,” tambahnya menoktahkan perbualan.
For handcrafted wedding items like decorative flowers at the wedding dais, door gifts and souvenirs for special guests, contact Farah Hafizah at BTC Wedding and Crafts, bungatelur.com tel +6012-6482121, bungatelur@bungatelur.com or facebook.com/bungatelur. Workshops are also available.