Artis muda mengorak langkah berani mempertahankan kelestarian seni cetak ceparas yang kian pupus
Ini merupakan tempoh yang mengujakan buat para artisan. Tahun lalu, lebih sejuta artisan telah menjual pelbagai jenis produk buatan tangan di laman web Etsy.com dan menjana perolehan hampir satu billion dolar. Kemunculan semula golongan artisan ini akan menjadi pemangkin kepada ekonomi negara dalam tempoh sedekad akan datang. Turut dikenali sebagai “gerakan golongan pencipta/artisan”, mereka akan mengambil risiko besar untuk memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan demi memenuhi minat untuk mencipta sesuatu yang baru dan menarik.
Buktinya, di Kuala Lumpur, kehadiran golongan pengusaha berskala kecil ini jelas kelihatan – daripada populariti kemunculan kopi artisan di sekitar Lembah Klang sehinggalah perkembangan perusahaan percetakan ceparas, The Alphabet Press (TAP). Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman dalam dunia seni reka, empat sekawan – Zeejay Wong, Cliff Leong, Helios Loo dan Fidella Ch’ng telah menubuhkan TAP dengan hasrat untuk menghidupkan semula minat terhadap seni cetak ceparas ini. Seni cetak ceparas merupakan teknik percetakan tradisional yang menggunakan satu set taip cerai bagi melancarkan proses mendakwat dan cetakan secara serentak.
Segalanya bermula sejak tiga tahun lalu apabila mereka berhasrat untuk menghasilkan kad nama ala cetak ceparas bagi studio seni reka mereka. “Seni cetak ceparas (letterpress) memberi kesan visual yang lebih mendalam kepada huruf dan hasil seni,” ujar Wong.
Usaha untuk mencari kedai cetak ceparas di sekitar Pudu bagaimanapun sia-sia. Sejak berdekad lamanya, kemunculan perusahaan percetakan offset dan digital, di samping kemerosotan jumlah pelanggan serta kekurangan pewaris industri telah menjadi faktor yang mengancam kelestarian perusahaan seni cetak ceparas yang agung ini.
“Salah satu sebabnya ialah kos kertas yang tinggi. Hanya kertas kapas tebal yang boleh menyokong cetakan khas itu dengan baik. Ia lima kali ganda lebih mahal berbanding kertas bermutu tinggi biasa,” tambahnya.
Minat terhadap seni cetak ceparas berputik semula selepas mereka melihat sekeping kad ceparas di sebuah kedai alat tulis di Bangkok secara tidak sengaja. Lantaran itu, mereka terus mendaftarkan diri untuk menyertai satu kursus seni cetak ceparas di Australia. Semasa kursus itulah mereka diberi pendedahan tentang cara-cara menggunakan model taip cerai lama oleh tenaga pengajar mereka.
Sekembalinya ke Malaysia, mereka pun membeli sebuah mesin cetak ceparas berusia 40 tahun, Heidelberg Platen berharga USD10,000 daripada sebuah kilang cetak yang telah ditutup. Tahun lalu, usaha mereka akhirnya membuahkan hasil dengan tertubuhnya sebuah studio nyata. Sekali imbas, mesin logam raksasa berwajah vintaj itu tersergam megah di satu sudut studio moden dan terang yang terletak di kawasan pinggir bandar SS2, Petaling Jaya. Kelibat mesin itu sekali gus menimbulkan tanda tanya: bagaimanakah hasil produk daripada proses percetakan berusia 200 tahun ini mampu bersaing di era internet ini? Jelas Leong, jawapannya terletak pada gabungan di antara pengalaman dalam seni reka serta pengetahuan tentang dunia teknologi.
“Kami yakin faktor utama untuk memastikan kelangsungan perusahaan ini adalah dengan menjadikan seni cetak ceparas ini relevan sekali lagi di sisi budaya. Jadi, kami berusaha untuk memberi pembaharuan kepada kegunaan ceparas yang mengatasi kegunaan tradisional,” tambahnya.
Suatu ketika dahulu, seni cetak ceparas cukup sinonim dengan penghasilan invois dan resit. Sebaliknya, TAP menawarkan kelainan dengan memperkenalkan alat tulis yang disertakan dengan ilustrasi serta coretan lukisan (doodles) yang ditempah khas. Daripada kad ucapan bermotifkan ‘pokok krismas ais kacang’ yang unik sehingga kepada kad Valentine bertemakan ilustrasi comel dengan kapsyen bahasa Melayu, produk keluaran TAP jelas lebih kukuh dari segi rekaan dan memiliki citarasa Malaysia.
“Salah satu projek yang diberi tumpuan sekarang adalah untuk merekodkan budaya Malaysia. Kami ingin memperkenalkan destinasi-destinasi tempatan seperti Melaka dan Pulau Pinang kepada pengunjung dari luar dan dalam negara menerusi satu siri poskad. Poskad ini akan turut disertakan dengan peta yang dicetak menggunakan mesin cetak ceparas,” terang Leong.
Gabungan perbezaan ini boleh direalisasikan menerusi teknik cetakan ceparas kontemporari. Cara cetakan ceparas tradisional melibatkan satu set taip cerai boleh alih dan ini amat terbatas. Mula-mula, rekaan akan dihasilkan secara digital menggunakan komputer sebelum fail PDF hasil rekaan dihantar untuk proses penghasilan filem polimer. Output rekaan digital filem adalah dalam bentuk negatif. Ia kemudiannya didedahkan kepada sekeping plat polimer menggunakan cahaya UV bagi memperoleh permukaan timbul di atas plat dalam bentuk rekaan terbabit.
Dari situ, proses cetakan ceparas tradisional dan kontemporari adalah sama. Warna dakwat akan dihasilkan; masukkan kertas ke dalam mesin menggunakan tangan sebelum proses cetakan bermula. Setiap warna akan diproses secara berasingan menerusi proses cetakan itu. Proses cetakan ceparas kontemporari telah membuka dimensi baru untuk mencetak hasil seni yang tidak mungkin dicapai menerusi mesin taip cerai terhad. “Hasilnya sama, cuma dengan peralatan berbeza,” ujar Wong.
Kemodenan membuatkan idea-idea tradisional yang membentuk pertukangan yang bagus serta sebaliknya kini berubah. “Dulu, hasil kerja tangan yang bagus bererti menghasilkan inden yang samar-samar, dikenali sebagai kesan ciuman (kiss impression), di atas sekeping kertas nipis dengan dakwat. Membuat cetakan yang terlalu jelas (dipanggil sebagai punch) pula, dikira sebagai hasil kerja yang tidak memuaskan,” kata Wong. Tidak dapat dinafikan bahawa kad yang mempunyai kesan yang mendalam ini nampak dan rasa lebih mewah, sama seperti produk yang ditempah khas.
Selain menghasilkan sejumlah produk jenama TAP dan menyediakan perkhidmatan seni reka, empat pelukis muda itu turut menganjurkan sesi lawatan bersifat pendidikan yang menyeronokkan. Mereka juga mengendalikan halaman rangkaian sosial Facebook yang membolehkan mereka berkongsi pelbagai maklumat berguna tentang seni cetakan ceparas dengan kerap, sekali gus menjadi bukti kepada komitmen teguh terhadap seni unik itu.
“Seni cetak ceparas ialah kraf yang kreatif dan juga artistik. Sayang sekali jika seorang pereka tidak tahu tentang selok-belok proses percetakan. Dengan adanya seni cetak ceparas, kamu boleh berkarya secara bebas dan tidak hanya tertumpu kepada permintaan pelanggan sahaja.
“Kami suka idea yang menggabungkan minat terhadap seni reka dengan warisan dan kerja tangan, hasil menggunakan percetakan mesin. Masa depan seni cetak ceparas terletak pada gabungan teknologi dan tradisi kraf. Misi kami adalah untuk membuatkan seni cetak ceparas ini kembali berdaya maju dalam cara yang serba baru,” tambahnya.
The Alphabet Press
33, Jalan SS 2/24, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
Tel +6012 288 9921 (Cliff)/+6012 963 6322 (Zeejay)
the-alphabet-press.myshopify.com/